KE MANA HALA TUJU MELAYU

Posted: November 10, 2008 in Uncategorized

KE MANA HALA TUJU MELAYU

 

Nampaknya impak positif berlaku pada kenyataan – bertaraf peringatan – yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja ke-215, 16 Oktober yang lepas. Impak yang dimaksudkan ialah penghantaran memo oleh Gabungan Melayu Perak (GMP) semalam, yang turut dianggotai oleh badan bukan kerajaan dari seluruh negeri Selangor dan Perak, termasuklah persatuan silat. Sekali lagi soal Melayu, iaitu hak istimewa, kedudukan raja-raja, bahasa dan agama Islam, dijadikan ‘modal’ utama dan terulung bagi bangsa Melayu, yang kini menjadi salah satu dari etnik Malaysia. Ini telah diluahkan oleh Sultan Perak.

 

Cuma, yang menjadi tandatanya : bagaimana dengan Melayu di negeri-negeri lain? Apakah memo tidak dirancang untuk seluruh bangsa Melayu; atau hanya layak untuk negeri-negeri yang berada di bawah parti pembangkang saja? Persoalan-persoalan ini mungkin berada dalam benak GMP… dan saya, sebagai seorang penulis, tidak ingin membayangkan Melayu tidak bersatu, masih terkhayal, lemah, tidak sensitif, atau … sememangnya tidak cukup ‘power’ untuk menarik semua Melayu di negeri-negeri lain untuk tampil.

 

Sesungguhnya, terlalu banyak persoalan yang boleh ditimbulkan. Antaranya : Melayu negeri lain tidak bersetuju dengan langkah memo; memerlukan cara lain atau isi lain untuk dipertontonkan kepada khalayak Malaysia; persoalan kepimpinan, dan sebagainya.

 

Walau apa pun, setakat apa yang dipertontonkan, persoalan yang timbul ialah : apakah ini saja yang boleh dilakukan oleh orang Melayu?

 

Melihat dari konteks ini, penulis lebih cenderung untuk memperkatakan : ke mana hala tuju Melayu? Ini kerana Melayu perlu sedar :

 

Singapura sudah hilang, dan tak mungkin kembali lagi, dan kemungkinan ini adalah bertaraf besar;

Pulau Pinang – bukan Penang – bakal menyusul, kerana sejak sekian lama sudah merdeka pun, Kedah tetap tidak menuntut haknya ke atas pulau tersebut. (Perhatian : Ini mengingatkan kita kepada cara bagaimana Johor dan Kerajaan Persekutuan menangani isu Pulau Batu Putih, yang akhirnya terlepas);

Nasib Perak dan Selangor bakal menjadi ‘negeri-negeri yang hilang di landa tsunami politik 2008′, semata-mata kerana parti-parti politik Melayu tidak ingin bergabung;

Wujudnya bangsa Melayu yang sanggup menidakkan sejarah bangsa, mengenepikan hak Melayu, mempergunakan agama Islam yang kononnya universal dan global;

Wujudnya pemimpin-pemimpin Melayu sekular, profesional dan berasaskan agama, yang sanggup bersekongkol dengan bukan Melayu, kerana ingin memerintah dengan apa cara sekali pun;

Wujudnya fahaman meritokrasi dan demokrasi, telus dan keadilan, yang dikira sebagai fahaman yang mampu membawa kesejahteraan dan kejayaan – yang lebih dari apa yang ada sekarang – kepada negara dan bangsa;

Wujudnya pemimpin yang menjadi pemerintah semasa, yang ingin menukar wajah Melayu dengan Melayu baru, atau pun bangsa Malaysia;

Asas Perlembagaan negara yang berlandaskan sistem demokrasi, yang bererti semua perkara yang terkandung didalamnya seperti isu orang Melayu ini, boleh diubah, dipinda, atau pun dibuang!;

Wujudnya ketempangan dalam perlaksanaan tatacara Islam, walau pun bertaraf agama resmi dan umatnya, yakni bangsa Melayu sudah semakin mendalam kefahaman mereka berbanding 50 tahun yang lalu;

dan lain-lain lagi terutamanya : apakah UMNO, yang diselaputi oleh kerawang rasuah, masih relevan dalam memperjuangkan hak Melayu?; apakah orang Melayu tidak baca dan dengar apa yang telah diluahkan oleh bukan-Melayu, sehingga tak tahu apa yang dikehendaki dan dicari oleh mereka?; apakah orang Melayu sudah tidak reti jadi Melayu lagi?; dan sebagainya.

Antara yang tercatat di atas, nombor 8 adalah teramat penting, manakala 9 pula merupakan alternatif – tatacara Islam – yang tidak pernah diberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk dibicarakan mengikut landasan ajaran Islam.

 

Sesungguhnya orang Melayu perlu merenongi dan tidak boleh bersikap ‘take for granted’ dalam menentukan mereka atau pihak-pihak yang terlibat dalam Perlembagaan yang berasaskan sistem demokrasi ini. Contohnya :

 

sejauh manakah boleh mengharapkan raja-raja, dengan semua kaum kerabatnya, menunaikan tanggungjawab mereka untuk kepentingan majoriti orang Melayu? Sejarah merdeka selama 50 tahun banyak menunjukkan sebaliknya;

sejauh manakah pemimpin politik Melayu mampu mempertahankan kepentingan orang Melayu berbanding dengan kepentingan diri sendiri serta kegilaan dalam merebut tapuk kekuasaan? Sejarah merdeka selama 50 tahun hanya menunjukkan, terbaiknya, mengeksperimentasi pelbagai fahaman dan teori, manakala terburuknya, hanya asyik dengan mengayakan diri sendiri saja;

sejauh manakah badan-badan bukan kerajaan Melayu, para sarjana Melayu, cendikiawan Melayu, berani tampil mempertahankan hak orang Melayu tanpa mempedulikan agenda pemimpin politik Melayu, yang mabuk dengan kuasa dan wang? Ini kerana pemimpin yang ada terlalu akrab dengan pemimpin politik, yang ketandusan idea dan semangat dalam memperjuangkan hak Melayu;

 

Dengan kata lain, secara mudahnya, apakah orang Melayu kini mampu mengenali siapa yang baik dan siapa yang jahat? Atau siapakah yang mampu menjadi wira Melayu? Ini kerana orang Melayu kini, bukan saja sanggup jadi si Tanggang, bahkan menilai Hang Jebat itulah pejuang yang sejati, bukannya Hang Tuah. Lagi muda mudi Melayu kini lebih banyak didedahkan dengan nilai-nilai Barat, cinta, hedonistik dan sebagainya, tetapi isu ini hanya dilihat sebagai tanggungjawab ibubapa dan masyarakat, manakala kerajaan pula menanganinya hanya dari sudut program kebajikan, kemasyarakatan, dan sukarelawan. Setakat ini rekod muda mudi Melayu yang terjebak dalam gejala sosial belum dapat diatasi dengan memuaskan, malah semakin memburuk! Ini kerana sebagai pemimpin sebuah kerajaan dan negara, apa yang diutama dan dipentingkan ialah kemakmuran dan kemajuan negara, tanpa memahami bahawa masalah sosial adalah merupakan masalah yang mampu menggagalkan semua usaha kemajuan dan pembangunan.

 

Terlebih penting lagi dari 8 ialah 9. Bayangkan, orang Melayu adalah umat Islam, tetapi mereka hidup dalam sistem demokrasi yang menghancurkan institusi kekeluargaan, yang menjadi teras dalam tatacara kehidupan Melayu. Malah mereka begitu asyik dengan pelbagai teori dan aliran kefahaman tentang negara dan umat Islam – dari menghayati nilai-nilai Islam, kepada masyarakat madani dan terkini Islam Hadhari. Semua aliran dan teori ini tidak bersalahan dengan ajaran Islam, cuma umat Islam itu sendiri yang tidak berada dalam struktur dan kerangka Islam yang telah diperjelaskan dalam Al-Quran dan Sunnah.

 

Apatah lagi, dalam Al-Quran ada mengisahkan tentang satu kaum yang bertukar menjadi berok kerana melanggar larangan menangkap ikan pada hari Jumaat. Bagi umat Nabi Muhammad saw., iaitu umat Islam mutakhir, adalah sebuah umat yang tidak akan dikenakan bala seperti umat terdahulu walau pun mereka menidakkan larangan dan tegahan ajaran Islam. Mereka diperingatkan tentang akan munculnya sebuah kaum yang akan mengambil alih tempat mereka, dek kealpaan mereka menunaikan ajaran Islam.

 

Apakah umat Islam Melayu kini masih tidak nampak dengan kebenaran peringatan Al-Quran, yang bakal melanda wilayah eksklusifnya, yang telah diamanahkan oleh Allah kepada mereka? Atau apakah umat Islam sedang menunggu para ulamak untuk mengeluarkan fatwa tentang umat Islam-Melayu? Ini kerana mereka adalah golongan yang hanya bertindak mengikut apa yang terkandung dalam bidangkuasa yang telah ditentukan seperti mengeluarkan fatwa tentang pengkid dan yoga…

 

Seterusnya, penulis mengharapkan tiada siapa yang mentafsirkan penulisan ini sebagai tulisan cauvinis atau pun rasis. Sesungguhnya, Melayu perlu mengenali sebenar-benarnya hak mereka, sebelum mereka pedulikan hak kaum lain. Walau pun dalam Perlembagaan hak kaum lain ada diberikan jaminan, ini tidak bermakna kita, orang Melayu, lebih arif dari apa yang mereka kehendaki. Kita, orang Melayu, sepatutnya yang lebih arif dalam memberikan sesuatu kepada mereka!

 

Sedarilah pelbagai tuntutan yang bukan Melayu suarakan menunjukkan mereka bukanlah golongan yang berhak dalam wilayah Melayu ini

Comments
  1. manlukeman says:

    panjang kecik tulisan nih..kerut dahi baca..sekerut dahi pikir masalah MELAYU skang..

  2. Teruskan usaha anda melontarkan idea untuk kepentingan bersama. Selamat maju jaya. Wassalam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s