Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama dengan usahawan wanita di Kota Bharu.

Tok Guru Nik Aziz

Posted: February 16, 2011 in Uncategorized
Tags:

BERSATU KITA

ERAT – Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Ketua Sangha Siam Kelantan, Phravicarnvuthikhun di majlis Muhibbah Masyarakat Siam Bersama Menteri Besar di Wat Phikul Thong, Kampung Terbak, Tumpat.

GELOMBANG MERAH UNTUK KELANTAN

Posted: February 8, 2011 in Uncategorized

Pergerakan Pemuda Umno Kelantan melancarkan Gelombang Merah bagi meraih kepercayaan golongan muda untuk membangkitkan kesedaran rakyat bahawa banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan oleh kerajaan negeri untuk rakyat.
Agama sahaja yang ditumpukan tanpa pembangunan insan dan material akan membawa kepada kekufuran, seperti yang dilakukan kerajaan negeri selama 21 tahun memerintah negeri yang masih tidak mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Justeru Gelombang Merah ini akan menjadi ujian adakah benar golongan muda mahukan pembaharuan dengan peluang pekerjaan yang lebih baik di negeri Kelantan.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu yang dapat menggambarkan keadaan masyarakat di Padang, Indonesia selepas dilanda gempa 30 September lalu.

Kesedihan masih jelas di wajah mereka yang kehilangan orang tersayang dan terpaksa tinggal di khemah-khemah sementara di Kampung Melalak – antara kawasan yang terjejas dengan kejadian itu.

Bagi seorang mangsa, Ajek Najan, menyaksikan enam anaknya berusia 4 hingga 9 tahun tertimbus di depan mata, hampir membunuh semangatnya untuk hidup.

Tidak dapat diungkapkan perasaannya apabila anak-anak tempat bermanja dan mencurahkan kasih sayang, maut semasa bencana itu. Ajek, 45, kehilangan empat anak lelaki dan dua perempuan. “Tiada apa lagi di dalam hidup saya, rumah pun ranap. Anak-anak mati, suami pula cedera,” katanya kepada Bernama yang berkunjung ke sana, baru-baru ini.

Ketika menceritakan saat menghadapi bencana alam itu, Ajek berkata, dia ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertani dan suaminya berada di rumah bersama enam anak mereka. “Suami saya mungkin juga menjadi korban jika kami tidak melihat tangannya yang terkapai-kapai minta tolong di celah-celah runtuhan batu,” katanya.

Baginya kehidupan kini lebih sukar kerana terpaksa membinanya semula tanpa bantuan suami yang masih belum mampu bekerja. Gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter menggoncang Padang pada 5.16 petang 30 September, berpusat di Kilometer 57, barat laut Pariaman, disusuli gempa bumi kedua 6.2 skala Richter pada 5.38 petang berpusat di Kilometer 22 ke barat laut Pariaman.

Kerajaan Indonesia mengesahkan anggaran 1.2 juta penduduk daripada 250,000 keluarga terjejas akibat gempa itu apabila kehilangan tempat tinggal dan punca pendapatan. Bencana itu menyebabkan kematian 1,115 orang, 1,214 cedera parah dan 1,688 cedera ringan.

Ajek berkongsi tinggal di khemah itu bersama 20 lagi keluarga sambil mengharapkan kerajaan membantu membina semula rumah mereka dan dalam pada itu menantikan bantuan wang, makanan dan pakaian. Kunjungan rombongan seperti kami dari Malaysia memang dinanti-nantikan Ajek dan penghuni khemah bagi mendapatkan bantuan sekurang-kurangnya keperluan harian.

Penulis menyertai rombongan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang diketuai Naib Cancelor Prof. Datuk Ir. Dr. Zainai Mohamed, ke Padang dalam lawatan kerja misi bantuan kemanusiaan untuk menyampaikan sumbangan wang, barang dan pakaian kepada mangsa gempa bumi ini. “Walaupun bantuan kemanusiaan yang diberi tidak semewah mana, kami mahu mereka tahu bahawa Malaysia turut berkongsi kesedihan mereka kerana asalnya kita serumpun. “Hanya sempadan memisahkan kita tetapi budaya, bangsa dan agama masih sama,” kata Dr. Zainai.

UMK membawa bantuan bernilai RM30,000 hasil kutipan sumbangan pelajar dan petugas UMK serta orang ramai. Seorang lagi mangsa gempa bumi itu Syiud John, 25; berkata, bantuan yang diterima sedikit sebanyak dapat memberikan ketenangan kepadanya kerana beliau tahu dengan pertolongan itu dapatlah beliau secara perlahan membina semula kehidupan. “Masih banyak lagi yang perlu kami lakukan. Perjalanan masih jauh tetapi semangat kami semakin hari semakin pulih dengan bantuan seumpama ini yang menunjukkan Malaysia prihatin,” ujar Syiud.

Penulis mendapati walaupun bantuan untuk mereka dilihat sudah banyak, sebenarnya ia belum mencukupi kerana ramai daripada kalangan mangsa semakin daif akibat bencana alam itu. Dalam hal ini bantuan yang mereka perlukan bukan hanya wang dan makanan, tetapi juga sokongan moral dan kata-kata semangat untuk cekal hidup.

Dr. Zainai dan rombongan UMK yang disertai 10 orang pensyarah dan pelajar turut melawat anak yatim di Pati Asuhan Aisyiyah di Kampung Birik-Birik, Pariaman. Beliau berkata, lawatan itu bertujuan meninjau keadaan di samping mengenal pasti jenis sumbangan dan bantuan lanjut untuk diberikan kepada masyarakat di kawasan terbabit di bawah program bantuan kemanusiaan UMK yang akan dilancarkan nanti. “Kami mempunyai program untuk membantu mereka melalui beberapa aktiviti yang akan dijalankan selepas ini. “Antaranya, pelajar kami akan ditempatkan bersama dengan masyarakat di sini untuk beberapa hari bagi melaksanakan program yang dirancang,” katanya. Beliau berkata walaupun jumlah bantuan UMK boleh dianggap kecil, namun diharapkan dapat meringankan beban mereka yang memerlukan. “Bantuan yang disediakan ialah sumbangan petugas, pelajar UMK, syarikat dan individu kepada tabung bantuan kemanusian yang ditubuhkan UMK,” katanya.

Walaupun pertanian menjadi sektor utama Malaysia, negara masih jauh ketinggalan dalam pengeluaran hasil pertanian untuk menampung keperluan sendiri. Dengan anugerah tanah yang subur, iklim bersesuaian, tenaga kerja ramai, berkemampuan dan diiringi kedudukan ekonomi serta politik yang stabil, belum cukup untuk dijadikan pengukur kejayaan tanpa usaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan dengan sebenar-benarnya slogan “Pertanian Adalah Perniagaan”. “Kita boleh pelajari dari Thailand”, itu adalah kesimpulan yang diperoleh hasil lawatan selama empat hari Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed ke negara jiran itu. Malaysia perlu banyak belajar dan mencontohi terutama dari segi kesungguhan, ketekunan dan kegigihan rakyat Thailand dalam memajukan sektor pertanian negara mereka, katanya kepada Bernama. Mustapa mengetuai pelbagai agensi kerajaan di bawah kementeriannya dalam lawatan itu baru-baru ini, untuk mempelajari, menjalinkan hubungan dan melawat tempat-tempat yang boleh dibawa kepakarannya di Malaysia.

PERTANIAN SECARA BESAR-BESARAN

Mustapa berkata, rakyat Thailand mengamalkan konsep pertanian berskala besar yang menyumbang kepada faktor kejayaan mereka untuk muncul sebagai pesaing di peringkat antarabangsa. Katanya, keupayaan negara jiran itu memajukan sektor pertaniannya sehingga menjadi antara negara pengeluar hasil pertanian utama dunia, memangkin semangat Malaysia untuk turut berkongsi ilmu bagi meningkatkan mutu dan hasil produktiviti pertanian negara. Mustapa berkata, beliau menyimpulkan jika ia berjaya dipraktikkan di Malaysia, kedudukan negara akan lebih selamat kerana tidak perlu bergantung lagi kepada ‘belas ihsan’ negara lain untuk memenuhi keperluan makanan negara. “Untuk menjayakan hasrat ini, kemajuan teknologi memainkan peranan yang amat penting. Kerana itu, lawatan tidak sempurna jika tidak berkunjung ke Universiti Kasetsart, salah sebuah universiti yang banyak terlibat dengan penghasilan teknologi pertanian di Thailand,” katanya. Beliau berkata apa yang Malaysia perlu lakukan sekarang ialah mengubah sikap sebahagian besar petani agar moto “Pertanian Adalah Perniagaan” dapat benar-benar dihayati seterusnya direalisasikan.

LADANG TENUSU CHOKCHAI

Katanya, antara tempat yang dilawati termasuk Ladang Tenusu ChokChai di Nokhom Ratchasima, pasar borong pertanian bersepadu Talaad Thai, Projek Diraja Chitralada. Mustapa berkata, Thailand dikenali sebagai “dapur dunia” mempunyai banyak aspek industri pertanian yang boleh dipelajari termasuk industri tenusu di negara itu. Malaysia, katanya, boleh menjadikan Ladang Tenusu ChokChai sebagai contoh. Ia bukan sekadar sebuah ladang, malah diiktiraf institusi perladangan tenusu persendirian yang amat berjaya dan satu daripada ladang tenusu yang paling canggih di Asia Tenggara. Dengan keluasan kira-kira 3,200 hektar dan terletak 155 km dari Bangkok, ia memberi pengunjung satu pengalaman berada dalam kehidupan di alam semula jadi. Ia sebuah ladang yang lengkap, mempunyai tanamam rumput dan jagung sendiri untuk ternakannya, malah mempunyai simpanan rumput ternakan. Ladang Tenusu Chokchai ialah satu projek agro-pelancongan yang menjalankan aktiviti pertanian seperti ternakan lembu tenusu dan lembu daging untuk kegunaan tempatan. Kawasan ini juga dibuka kepada orang ramai bagi tujuan pembelajaran. Dengan tenusu sebagai asas kegiatan perniagaan, ladang ini telah memperluaskan bidang kegiatannya seperti pelancongan, hospitaliti, peruncitan, dan khidmat perundingan. Ia mempunyai jabatan penyelidikan dan pengembangannya sendiri untuk mempertingkatkan hasil pengeluaran dari ladang dan binatang ternakannya. Ladang tenusu Chokchai adalah ladang pertama di Thailand yang mengeksport ternakan tenusunya ke Malaysia, Laos dan Vietnam.

PASAR BORONG PERTANIAN

Begitu juga dengan Talaad Thai, pasar borong pertanian bersepadu utama di Thailand yang beroperasi 24 jam. Didirikan pada 1995 dan diuruskan oleh Thai Agro Exchange Co. Ltd, ia adalah pusat pengedaran bagi produk pertanian tempatan dan luar negara. Terletak di kawasan seluas 80 hektar, pasar ini boleh memuatkan 15,000 metrik tan hasil pertanian sehari dan mempunyai ruang untuk buah-buahan, sayur-sayuran, daging dan hasil laut, tanaman, bunga dan makanan kering. Pasar ini menempatkan segala produk pertanian, ternakan dan perikanan yang dihasilkan petani dari seluruh Thailand, malah juga produk pertanian dari luar negara, untuk proses jual-beli yang sistematik. Pasar ini merupakan sebuah pusat perdagangan produk pertanian termoden dan terbesar di Thailand dan Asia.

PROJEK DIRAJA CHITRALADA

Manakala projek pertanian Chitralada adalah unik kerana ia dipercayai menjadi projek yang pertama seumpamanya di dunia diilhamkan oleh keluarga diraja. Projek ini mengambil tempat di Chitralada Palace, yang menjadi kediaman Raja Bhumibol Adulyadej sejak 1961, telah menjalankan pelbagai aktiviti sebagai kajian untuk peningkatan mutu dan hasil pertanian sesuai untuk diamalkan oleh petani. Projek ini hasil keprihatinan istana untuk mengatasi masalah pertanian yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat negara itu. Maka tidak hairanlah jika Istana Chitralada ini merupakan satu-satunya istana raja di dunia yang dikelilingi oleh bendang, ladang tenusu, kolam ikan dan puluhan kilang, termasuk bagi pembuatan lilin, minuman dari buah-buahan dan sayur-sayuran, roti, kertas dan buah-buahan dalam tin. Apa yang istimewa mengenai projek ini ialah setiap kegiatan yang dijalankan mendapat perhatian daripada Raja Bhumibol secara peribadi. Sesuatu yang menarik mengenai projek diraja ini ialah tidak ada sisa terbuang yang dihasilkan dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Misalnya, jika padi diproses menjadi beras, sekamnya pula tidak dibuang begitu saja dan dijadikan bahan bakar. Malah kreativiti mereka nyata terserlah apabila minyak masak terpakai juga dihasilkan menjadi sabun dan lilin. Sememangnya, masih banyak yang perlu dilakukan Malaysia jika ingin menjadi satu daripada pemain utama dalam sektor pertanian, apatah lagi untuk menjadi pengeluar bahan makanan utama dunia. Namun, sebagaimana yang telah dibuktikan Thailand, sesukar manapun ia, dengan komitmen dan kesungguhan, tidak mustahil Malaysia mampu mencontohinya. Ia hanya memerlukan komitmen dan ketabahan untuk berjaya.

Menara Eiffel sememangnya menjadi keigauan bagi rakyat Malaysia apabila diberi peluang pergi ke negara yang terkenal dalam cerita filem sebagai bandar raya fesyen dan romantik.

Bila diberitahu akan ditugaskan ke Paris, kota terbesar di Eropah, untuk liputan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke persidangan Unesco baru-baru ini, terus tergambar dalam fikiran Menara Eiffel yang menjadi ikon kota romantis itu.

Kata orang tak sah ke Paris kalau tidak ke Menara Eiffel. Lantas, setelah selesai urusan pendaftaran bilik di sebuah hotel butik, Hotel de Sers, penulis mengambil peluang untuk mengenali kota romantis ini.

Dalam kedinginan 5 darjah Celsius, kesejukan yang belum pernah penulis rasai sebelum ini, penulis memulakan langkah. Keluar saja dari bangunan penginapan, sudah kelihatan Menara Eiffel. Jauhnya hanya 20 minit berjalan kaki dari hotel.

Menjadi kebiasaan penduduk tempatan, malah pengunjung, menikmati keindahan kota cahaya ini dan bangunan-bangunan yang mempunyai seni reka yang mengagumkan dengan berjalan kaki sambil menyusuri Sungai Seine yang melintasi kotaraya itu.

Lagipun caj bayaran teksi di Paris mahal – EU80 untuk sejam. Ia di luar kemampuan penulis.

CABARAN MENUJU KE EIFFEL

 

Paris adalah sebuah bandar yang luas dan dengan mengetahui sistem pengangkutan awamnya akan memudahkan perjalanan ke tempat-tempat menarik di sana. Untuk bergerak ke mana-mana di Paris tidak menjadi masalah kerana sistem pengangkutannya amat tersusun.

Ada perkhidmatan bas, tren dan bot untuk lawatan sambil menyusuri Sungai Seine. Lagi pun kebanyakan tempat menarik di Paris berhampiran sungai.

Namun disebabkan menjadi kebiasaan masyarakat Eropah untuk berjalan kaki, maka penulis mengambil langkah yang sama.

Tersergam di Champ de Mars ialah Menara Eiffel atau Tour Eiffel yang kini menjadi ikon dunia bagi Perancis.

Merupakan bangunan tertinggi sewaktu ia siap dibina hingga 1930, menara ini adalah antara mercu tanda paling dikenali dan dilawati seluruh dunia.

Ia dikatakan telah dikunjungi lebih 200 juta pelawat setakat ini. Dengan ketinggian 324 meter (bersamaan dengan ketinggian bangunan 81 tingkat), dengan antena televisyen setinggi 24 meter di atasnya, menara besi ini dibina untuk Pesta Dunia 1889 dan dinamakan sempena perekanya, Gustave Eiffel.

Terdapat 1,652 anak tangga untuk sampai ke puncaknya. Menara ini dikatakan bergoyang 6-7 sentimeter bila ditiup angin.

SEJARAH EIFFEL

Menara Eiffel dibina untuk keperluan Pekan Raya Internasional di Paris pada tahun 1889 untuk memperingati seratus tahun Revolusi Perancis.

Ia dirasmikan oleh Prince of Wales, yang kemudian menjadi Raja Edward V11. Pada tahun 1909, menara ini hampir dirobohkan, tetapi dapat diselamatkan kerana antenanya diperlukan untuk menghantar telegram.

Menara ini mempunyai tiga tingkat. Pengunjung perlu membeli tiket untuk menaiki menara ini, sama ada dengan menaiki lif atau mendaki tangga, sebanyak 300 anak tangga untuk ke tingkat pertama dan 300 anak tangga lagi untuk ke tingkat kedua. Bagaimanapun, laluan ke tingkat ketiga hanya dibenarkan dengan menaiki lif.

Ruang di tingkat pertama dan kedua menempatkan restoran, termasuk Jules Verne, yang dikatakan restoran paling mahal, kedai cenderahati dan lain-lain lagi.

Pemandangan dari tingkat-tingkat ini, terutama yang paling atas amat menakjubkan. Kisahnya, pembinaan menara ini tidak diterima baik dan dikatakan lebih 300 petisyen dibuat bagi membantah projek ini.

Bagaimanapun dengan kecekalan perekanya dan seramai 300 pekerja menyusun 18,038 potongan besi waja yang disambung dengan dua setengah juta paku, menara ini mampu terbina. Kini ia tersergam dan menjadi simbol keagungan kota Paris.

LAGI TEMPAT MENARIK

Sebagai sebuah bandar fesyen tersohor didunia, Paris mempunyai sejarah yang berwarna-warni dan masyhur sebagai syurga karya seni agung. Lawatan seperti ke Musee du Louvre, Chateau de Versailles, Champs Elysees, Centre Georges Pompidou dan Arch de Triumph pasti akan meninggalkan sejuta kenangan.

Perancis adalah sebuah negara penuh seni dan kebudayaan. Keelokan senibina bangunan dan panorama serta atmosferanya membuat anda merasa relaks dan bahagia. Antaranya, Notre Dame de Paris (bahasa Perancis untuk “Bunda Kita di Paris”) iaitu satu cathedral atau gereja yang mempunyai senibina gothic Perancis.

Ia adalah sebuah bangunan batu dalam sejarah bangunan dunia yang terletak di antara dua sungai dan dibina pada tahun 1163 dan siap pada tahun 1334. Bila berada di bangunan ini, penulis dipesan untuk mencari tanda yang dinamakan “Paris Point Zero” di depan pintu masuk utama.

Apa yang dimaksudkan ialah sekeping tembaga berbentuk segi lapan yang ditanam dilantai di depan pintu masuk itu, tepat di mana bermula pengiraan jarak antara Paris dengan lokasi lain. Dikatakan, sesiapa yang memijak Point Zero ini akan balik lagi ke Paris.

PENTERNAK IKAN

Posted: December 5, 2008 in Uncategorized

Penternak ikan Mohd Kamal Ibrahim, 26 mengalami kerugian hampir RM200,000 apabila 250,000 ikan spesies kerapu harimau yang berumur 1 hingga 2 tahun yang diternaknya di 64 sangkar habis mati.
Sebahagian ikan-ikan itu sudah boleh dijual dengan harga antara RM40 hingga RM60 sekilo bagi pasaran di luar negara.
Beliau berkata sekiranya ikan-ikan berkenaan dapat diselamatkan beliau menjangka akan dapat mengaut keuntungan sekurang-kurangnya RM150,000 sebagaimana yang diraihnya pada tahun lepas.